Lebih 1,000 Warga Indonesia Pulang Beraya Guna Terminal Feri Hutan Melintang
Antara
perantau warga Indonesia yang menaiki feri untuk pulang ke Medan
sempena cuti Hari Raya Haji di Terminal Feri Antarabangsa Hutan
Melintang, Khamis.
Feri akan mengambil masa sekitar 7 hingga 8 jam
untuk sampai ke Jeti Tanjung Balai Asahan di Sumatera.
(Ubah
saiz teks)
BAGAN
DATOH: Dianggarkan
lebih 1,000 perantau warga Indonesia pulang ke kampung halaman
masing-masing sejak awal minggu ini, bagi menyambut Hari Raya
Aidiladha, dengan menggunakan Terminal Feri Antarabangsa Hutan
Melintang di sini.
Pemangku
Ketua Pegawai Keselamatan Terminal berkenaan, Zairul Nizam Hashim
berkata pihaknya menjangkakan terminal itu akan sesak Sabtu ini,
dengan kehadiran warga Indonesia pulang ke kampung halaman menaiki
feri dan turun di Jeti Tanjung Balai Asahan, Sumatera.
"Lazimnya
mereka pulang pada saat akhir. Malah, Sabtu ini merupakan hari
terakhir kita beroperasi dan terminal itu akan kembali beroperasi
beberapa hari selepas Aidiladha.
"Pada
hari ini, hampir 200 penumpang berdaftar untuk pulang," katanya
kepada Bernama di terminal feri itu, Khamis.
Terminal
itu beroperasi setiap Selasa, Khamis dan Sabtu bagi perjalanan ke
Jeti Tanjung Balai Asahan, manakala Isnin, Rabu dan Jumaat adalah
bagi feri penumpang masuk ke Terminal Feri Antarabangsa Hutan
Melintang.
Namun,
katanya penumpang di terminal feri itu menjelang perayaan Aidiladha
tidaklah terlalu sesak sepertimana Hari Raya Aidilfitri sehingga
memaksa pihak terminal menyediakan dua perjalanan feri yang boleh
membawa 600 penumpang dalam satu hari.
Tinjauan
Bernama di terminal feri berkenaan mendapati ia dipenuhi warga
Indonesia yang mahu pulang awal ke kampung halaman bagi mengelak
kesesakan pada saat akhir.
Walaupun
perjalanan menggunakan feri lebih lama, sekitar empat hingga enam jam
berbanding menggunakan pesawat, ia tetap menjadi pilihan warga
Indonesia kerana tambangnya lebih murah.
Bagi
Nilawati Rasimon, 46, seorang suri rumah dan baru berkahwin kira-kira
empat bulan lepas dengan seorang rakyat tempatan, berkata beliau akan
pulang beraya di kampungnya di Medan selama tiga minggu.
"Saya
pulang sendirian ke Medan kerana mahu beraya bersama emak dan
berkumpul dengan adik-beradik. Suami saya tidak dapat ikut kerana ada
kerja," katanya yang dihantar suaminya Sharkoni Bon, 60, dan
menetap di Klang, Selangor.
Ditanya
mengapa tidak pulang menggunakan Terminal Penumpang dan Feri
Antarabangsa Asa Niaga di Pelabuhan Klang, katanya, beliau lebih
selesa menaiki feri di Terminal Hutan Melintang kerana tidak sesak.
"Ini
kali pertama saya naik di terminal ini setelah rakan-rakan beritahu
terminal feri ini lebih selesa dan tidak sesak berbanding di
Pelabuhan Klang.
Suami
saya sanggup hantar dan dia kata biar jauh asalkan selesa,"
katanya.
Bagi
Daud Pangariduan, 24, pelajar Universiti Selangor (Unisel) yang
mengambil Sarjana Pendidikan dalam Pengurusan Disiplin, menyifatkan
selain Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha juga waktu terbaik
berkumpul bersama saudara-mara dan sahabat handai.
"Saya
sering menggunakan terminal feri ini. Saya rasakan Malaysia dengan
kampung saya di Tanjung Balai Asahan dekat, sebab itulah keluarga
hantar saya menyambung pengajian di Malaysia," katanya yang baru
setahun menyambung pengajian di negara ini.
Difahamkan
tiket pergi balik ke Tanjung Balai Asahan berharga RM220 seorang,
tidak termasuk caj barang dan cukai jeti.
Tinjauan
juga mendapati mereka turut membawa pulang pelbagai barangan,
antaranya makanan berupa milo, mee segera dan biskut serta peralatan
elektrik seperti televisyen.
Sementara
itu, jurucakap Imigresen di terminal feri itu berkata sehingga kini,
proses warga Indonesia pulang ke destinasi masing-masing berjalan
lancar.-- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan